11 startups in Malaysia selected to join Microsoft Emerge X program
December 23, 2020
Introducing the Cisco Secure Network Analytics Data Store!
January 5, 2021

11 syarikat baharu di Malaysia dipilih untuk menyertai program Microsoft Emerge X

Programme Emerge X diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Highway to a 100 Unicorns oleh Microsoft, untuk mencari dan memupuk pembangunan syarikat pemula berpotensi tinggi dalam bidang teknologi & mengembangkan ekosistem pasaran sedang membangun di seluruh Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 22 Disember 2020 – Sebagai sebahagian daripada komitmen Microsoft untuk mencari dan memupuk syarikat pemula berpotensi tinggi dalam bidang teknologi di rantau ini, 11 syarikat pemula dari Malaysia telah dipilih untuk menyertai program Microsoft Emerge X. Sebagai peserta Emerge X, mereka akan terlibat program bimbingan mentor sepanjang tahun dengan Microsoft for Startups (Microsoft untuk Syarikat Baharu) yang dirangka untuk membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan dan mempercepatkan pertumbuhan. Sejumlah 11 syarikat pemula dari Malaysia termasuk Alpha Red Services, Betacard, Leaderonomics Digital, Naluri Hidup, OrangeFIN Asia, SalesCandy, Setel, Softinn Solutions, Soft Solvers Solutions, Supplycart.my, dan Talentcloud.ai

Di samping menyertai program bimbingan mentor selama setahun ini, mereka juga akan menerima kredit GitHub dan Azure, berpeluang menghadiri Kem Pengasas selama 3 hari, mencapai pelanggan perusahaan di peringkat global menerusi program jualan bersama unik Microsoft, dan berinteraksi dengan pakar-pakar Microsoft.

“Untuk memastikan Asia Pasifik kekal di hadapan dalam transformasi global, apa yang diperlukan ialah usahawan yang menggugat kebiasaan lama, mencipta wawasan dan mencorakkan masa depan. Hakikatnya tiada had dalam apa yang dicapai oleh insan apabila dunia dan teknologi mencerminkan kepelbagaian semua pihak yang menggunakannya. Sebab itulah di Microsoft, kami membina teknologi supaya orang lain boleh mencipta teknologi, dan kita semua perlu bekerjasama untuk berjaya,” kata Andrea Della Mattea, Presiden, Microsoft Asia Pasifik.

“Menerusi inisiatif Highway to a 100 Unicorns (Usaha Melahirkan 100 Unikorn) dan program Emerge X, kami berharap untuk membantu syarikat-syarikat pemula dalam usaha mempelopori inovasi, di mana mereka boleh memenuhi keperluan industri yang belum dipenuhi dan membantu syarikat-syarikat perniagaan meningkatkan daya tahan masing-masing,” beliau tambah.

Membina Ekosistem Syarikat Pemula di Malaysia dan Asia Pasifik

Program Emerge X, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Highway to a 100 Unicorns telah dilancarkan di Malaysia dan 15 negara Asia Pasifik lain pada Oktober 2020, susulan kejayaan luar biasa di India. Sejak pelancaran program, Microsoft telah berganding bahu dan bekerjasama dengan lebih daripada 70 peserta ekosistem syarikat pemula terkemuka dan kerajaan di seluruh rantau. Antaranya termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Cradle Fund, yang seterusnya mencalonkan lebih daripada 300 syarikat paling berpotensi bagi program ini.

Daripada pencalonan tersebut, 79 daripada syarikat pemula paling berpotensi di rantau Asia Pasifik telah dipilih. Tambahan lagi, 21 daripada mereka telah dijemput untuk mengemukakan idea di Pertandingan Pembentangan Idea Serantau Emerge X, yang diadakan di Minggu Syarikat Pemula Filipina 2020. Juliana Jan, Ketua Pegawai Pelaburan Cradle, yang merupakan salah seorang daripada pengadil, berkata, “Asia Tenggara mempunyai pantai dan pulau yang menakjubkan, makanan lazat, dan tradisi budaya yang sungguh bersejarah. Hari ini, ia juga dikenali sebagai rantau yang berkembang dengan rancak dari segi keupayaan inovatif. Asia Tenggara juga mempunyai ekonomi internet yang berkembang pesat. Pengguna digital di Asia Tenggara dijangka bertumbuh kepada 70% menjelang akhir tahun ini, dengan 400 juta pengguna menyumbang kepada ekonomi internet rantau bernilai US$100+ bilion.”

Juliana turut berkongsi bahawa Asia Tenggara sejak kebelakangan ini telah muncul dalam bidang teknologi dan giat merancakkan transformasi landskap digitalnya. “Saya teruja untuk melihat apa yang seterusnya di rantau kita dan bagaimana syarikat-syarikat pemula kami akan memanfaatkan potensinya dengan penyelesaian teknologi yang inovatif. Inilah masanya untuk mempergiatkan penyelesaian inovatif semasa kita masih memerangi COVID-19 yang telah mengubah dunia kita. Teknologi sebagaimana kita ketahui telah menarik banyak perhatian berikutan potensinya untuk mengubah kehidupan dan ekonomi. Ia boleh membantu orang biasa mengakses mana-mana produk dengan selamat dan cekap, sambil memacu pertumbuhan ekonomi negara.”

Turut sama dengan Juliana dalam sesi pengadilan tersebut ialah para pelabur dari BOV Capital, Monk’s Hill Ventures, Movac, M12, SBK Tech Ventures, Sequoia, Vista Consulting Group, dan 54i Ventures, dan juga pemimpin ekosistem dari GitHub dan Target Accelerator. Di acara tersebut, Abivin (Vietnam), Lifetrack Medical Systems (Filipina dan Singapura), Agrithmics (Sri Lanka) dan Milky Way AI (Singapura) telah diumumkan sebagai pemenang pertandingan pembentangan idea Serantau Emerge X.

Pemerkasaan ekosistem syarikat pemula Malaysia

Untuk terus membina ekosistem syarikat-syarikat pemula Malaysia, Microsoft akan menganjurkan Sidang Syarikat Pemula KL + Hari Pembangun Perisian Microsoft pada tahun 2021, menghimpunkan syarikat-syarikat pemula yang paling inovatif dan bercita-cita tinggi untuk membina jaringan dalam kalangan barisan penceramah dan peserta yang terpelbagai.

Tambahan lagi, Microsoft akan menyokong MaGIC sebagai rakan teknologinya menerusi program MyStartup Hub 2021.  Inisiatif ini bertujuan menggalakkan syarikat-syarikat pemula global yang inovatif dari seluruh dunia untuk menubuhkan hab perniagaan di Malaysia, lantas mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem serantau sambil mendorong pertukaran ilmu antara syarikat pemula tempatan dan antarabangsa.

“Kami benar-benar yakin terhadap potensi ekosistem syarikat pemula tempatan untuk menggugat industri dan mendorong pertumbuhan ekonomi secara mampan dan inklusif. Kami akan terus berganding bahu dengan penggerak ekosistem lain untuk menyediakan persekitaran yang sesuai dan pesat berkembang untuk pembangunan syarikat pemula yang inovatif. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memperkasakan syarikat pemula tempatan dengan teknologi dan kepakaran yang sewajarnya, lantas membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dan mencapai kejayaan lebih besar di peringkat global,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

 


Lampiran: Senarai syarikat pemula Emerge X di rantau APAC

  • Bangladesh: Alice Labs, Loop, PriyoShop, Sigmind.ai
  • Bhutan: DrukRide, One Click Shop
  • Kemboja: Peth Yoeung
  • Indonesia: Crowde, GREDU, Kiddo.id, Konvergen AI, Neurosensum, Ritase, Tjetak
  • Malaysia: Alpha Red Services, Betacard, Leaderonomics Digital, Naluri Hidup, OrangeFIN Asia, SalesCandy, Setel, Softinn Solutions, Soft Solvers Solutions, Supplycart.my, Talentcloud.ai
  • Maldives: FahiPay
  • Myanmar: Better HR, Expa.ai, Karzo Co., Village Link
  • Nepal: Digital Age Nepal, The Secured ID, Tootle
  • New Zealand: Book Me Bob, Projectworks, Showcase Workshop, Storbie, Vibe.fyi
  • Filipina: Aiah, ChatGenie, Edukasyon, Expedock, Frontlearners Inc., Investagrams, Lifetrack Medical Systems, Omnirio, Packetworx, Rumarocket, Tangere, Qwikwire
  • Singapura: Accredify, Bambu, JobKred, Lifetrack Medical Systems, Milky Way AI, Sentient.io, Tookitaki, Wiz.Ai
  • Sri Lanka: Agrithmics, DirectPay, Eimsky, Enhanzer, InsureMe, OMAK, Roar Global, SIXER VIDEO
  • Thailand: AltoTech, Bizcuit, ENRES, FilmDoo, Finema, Jabjai Corporation, PUUN Intelligent, Ricult, Robolingo, Vonder, ZTRUS
  • Vietnam: Abivin, Base.vn, House3D

The post 11 syarikat baharu di Malaysia dipilih untuk menyertai program Microsoft Emerge X appeared first on Microsoft Malaysia News Center.