A Successful Security Platform Requires the Strongest Partner Ecosystem
April 1, 2021
Microsoft, SOCSO and JAMB join hands to empower 25,000 Malaysians with digital skills
April 2, 2021

Lebih 110,000 orang di Malaysia timba kemahiran digital semasa COVID-19

Microsoft dan LinkedIn lancarkan peringkat pembelajaran selanjutnya untuk membantu pencari kerja dan majikan berhijrah kepada ekonomi berasaskan kemahiran

 ASIA PACIFIC, MALAYSIA — 1 April 2021 — Microsoft Corp. telah mengumumkan pada hari Selasa lepas bahawa pihaknya telah membantu lebih 30 juta orang di 249 negara dan wilayah menimba kemahiran digital, dengan 110,000 daripada mereka adalah dari Malaysia. Jumlah tersebut mengatasi sasaran awal 25 juta pada bulan Jun lepas. Microsoft Corp. juga melanjutkan komitmen untuk membantu 250,000 syarikat di peringkat global untuk mendapatkan pekerja berasaskan kemahiran pada 2021.

Berjuta-juta orang, termasuk graduan baharu yang menceburi pasaran kerjaya, individu yang diberhentikan kerja dan individu yang mencari peluang baharu dalam ekonomi digital, telah mengikuti kursus pembelajaran dalam talian daripada GitHub, LinkedIn dan Microsoft semasa pandemik untuk membantu mempersiapkan diri dan mendapatkan kerja dengan permintaan paling tinggi, termasuk dalam bidang perkhidmatan pelanggan, pengurusan projek dan analisis data. Pengumuman ini, yang diperincikan dalam Blog Rasmi Microsoft, menggiatkan usaha syarikat tersebut membantu orang ramai dengan diperluas menerusi kursus-kursus percuma LinkedIn Learning dan Microsoft Learn sepanjang 2021 dan pensijilan kos rendah yang memenuhi keperluan 10 daripada kerjaya dengan permintaan paling tinggi. Peringkat selanjutnya inisiatif ini menetapkan asas baharu bagi ekonomi berasaskan kemahiran menerusi rangkaian peralatan dan platform baharu yang dirangka untuk menghubungkan pencari kerja mahir dengan para majikan.

“Kemahiran bakal menjadi faktor penentu baharu dalam dunia pasca pandemik. Sepanjang tempoh setahun lepas, kami telah melihat pandemik ini menjejaskan kehidupan ramai orang dari serata dunia, termasuk mereka yang paling tidak mampu menanggung bebannya,” kata Presiden Microsoft Asia, Ahmed Mazhari. “Dalam usaha kita membina semula kekuatan selepas pandemik, usaha menimba kemahiran baharu perlu diberikan tumpuan dalam penjajaran baharu ekonomi. Dengan kerjasama LinkedIn, kami menggandakan usaha untuk mentafsirkan semula kerjaya di rantau ini dengan menyokong pembangunan pasaran tenaga kerja berasaskan kemahiran yang lebih terangkum, lantas menambah pilihan, meningkatkan fleksibiliti dan kaedah pembelajaran yang boleh dimanfaatkan untuk mendekatkan lagi pekerja dengan peluang kerjaya baharu.”

Adult men attending a training

LinkedIn bercadang untuk membantu 250,000 syarikat di peringkat global melaksanakan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran tahun ini menerusi produk pengambilan pekerja baharu dan sedia ada. Syarikat ini akan menyediakan cara baharu untuk pencari kerja menunjukkan kemahiran mereka dan juga alat baharu bagi majikan untuk meninjau calon berasaskan tahap kemahiran mereka termasuk:

  • Program Perintis bagi LinkedIn Skills Path, iaitu cara baharu untuk membantu syarikat-syarikat mengambil pekerja berasaskan kemahiran. Skills Path menggabungkan kursus LinkedIn Learning dengan Penilaian Kemahiran untuk membantu petugas pengambilan pekerja mendapatkan calon dengan cara yang lebih saksama — berasaskan kemahiran terbukti masing-masing. LinkedIn sedang merintis penggunaan Skills Path bersama beberapa syarikat, termasuk BlackRock, Gap Inc. dan TaskRabbit, dan komited untuk meluaskan amalan pengambilan pekerja untuk melibatkan calon dengan pengalaman yang terpelbagai.
  • Ciri-ciri profil Linkedin yang lebih menyerlah dan tersendiri akan membantu orang ramai berkongsi maklumat tentang diri mereka, serta kerjaya dan matlamat mereka dengan cara yang lebih sahih dan menarik. Ini termasuk video Paparan Utama yang membolehkan pencari kerja menampilkan kemahiran insaniah mereka kepada petugas dan pengurus pengambilan pekerja. Tujuh puluh lima peratus daripada pengurus pengambilan pekerja menganggap resume biasa tidak memadai untuk menilai kemahiran insaniah calon, dan hampir 80% berpendapat video kini lebih penting apabila menilai calon.*[1]
  • Capaian Diperluas kepada Graf Kemahiran LinkedIn akan membantu mewujudkan ukuran kemahiran umum bagi individu, majikan, institusi pendidikan dan agensi kerajaan untuk membantu menambah baik perancangan, pengambilan dan program pembangunan tenaga kerja.

Microsoft menggembleng tenaga setiap bahagian syarikat untuk menyokong usaha LinkedIn mempromosi peluang kemahiran digital yang lebih luas, termasuk Career Coach, iaitu aplikasi Microsoft Teams untuk Pendidikan kendalian LinkedIn yang menyediakan panduan tersendiri untuk pelajar pendidikan tinggi merancang perjalanan kerjaya mereka. Career Coach menawarkan kepada institusi-institusi pendidikan satu penyelesaian kerjaya bersepadu bagi pelajar untuk membantu mereka menentukan matlamat, kepentingan dan kemahiran masing-masing menggunakan pengesan kemahiran berasaskan AI dan penggabungan dengan LinkedIn yang menjajarkan profil komprehensif pelajar dengan trend pasaran kerjaya dan membantu mereka mempelajari kemahiran dunia sebenar dan berhubung dengan mentor dan rakan setara, semuanya di satu tempat.

Female youth attending a training

Olivier Legrand, Pengarah Urusan & Naib Presiden, Asia Pasifik & China di LinkedIn berkata, “Pengambilan pekerja berasaskan kemahiran kini dilihat sebagai semakin penting dalam dunia kerjaya masa kini. Kami mendapati insan dari seluruh dunia menyuarakan keinginan mereka untuk menimba ilmu dan membina kemahiran. Malah organisasi juga mengambil pekerja berasaskan kemahiran dan bukannya kemahiran tradisional. LinkedIn, bersama dengan Microsoft, komited untuk membantu semua individu berhijrah kepada ekonomi berasaskan kemahiran. Pada 2021, kami akan meneruskan usaha kami untuk melengkapkan pencari kerja dengan sumber yang sewajarnya untuk menimba kemahiran baharu, dan menghubungkan mereka kepada peluang yang ada, dan juga berusaha membantu 250,000 organisasi membuat pengambilan pekerja berasaskan kemahiran.”

Microsoft telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kerjasama bukan keuntungan untuk membantu menyediakan khidmat sokongan menyeluruh dengan tunjuk ajar, bimbingan dan membina jaringan dengan 6 juta pelajar di seluruh dunia. Microsoft akan mengguna pakai pengajaran ini secara lebih meluas dan mengumumkan sebuah perkhidmatan dalam talian baharu, Career Connector, yang memberi peluang kepada 50,000 pencari kerja di seluruh dunia untuk mendapatkan kerja berasaskan teknologi dalam tempoh tiga tahun akan datang. Usaha ini menyasarkan pelajar yang telah membina kemahiran menerusi rakan-rakan pembelajaran bukan keuntungan Microsoft, dengan lebih penekanan kepada golongan wanita dan kumpulan minoriti yang kurang terlibat dalam bidang teknologi.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif di Malaysia, Microsoft telah memainkan peranan aktif untuk bekerjasama dengan organisasi tempatan termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), JA Malaysia, dan Biji-Biji Enterprise untuk menumpukan usaha meningkatkan kemahiran komuniti, termasuk dalam kalangan pencari kerja dan dewasa muda yang bekerja dalam ekonomi sambilan (gig economy).

Tambahan lagi, Microsoft telah menggiatkan pakatan dengan sektor pendidikan untuk memastikan sukatan pelajaran semasa sesuai untuk industri. Matlamatnya ialah untuk memastikan graduan tempatan dilengkapi dengan kemahiran industri dan sumber untuk masa depan yang bukan sahaja membantu melahirkan graduan yang sedia menceburi dunia kerjaya, tetapi juga  usahawan berbakat dengan kesungguhan untuk turut mencipta pekerjaan.

“Setiap tugasan masa depan memerlukan kemahiran digital sebagai prasyaratnya. Sambil Malaysia berkembang maju untuk mencapai cita-cita MyDIGITAL, tenaga kerja digital amat penting untuk memperkasakan ekonomi digital negara kita. Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan rakan-rakan kerjasama kami untuk melengkapkan lebih ramai rakyat Malaysia dengan kemahiran digital. Kami percaya keupayaan lanjut untuk menimba kemahiran digital ialah langkah penting untuk mengukuhkan pemulihan ekonomi dan untuk membolehkan rakyat Malaysia berjaya dalam ekonomi bertumpukan digital yang semakin berkembang dan terangkum,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

[1] Kaedah tinjau selidik: Censuswide menjalankan penyelidikan dalam talian bagi pihak LinkedIn, antara 25 Feb dan 2 Mac 2021, dalam kalangan 1,009 pengurus pengambilan pekerja dan 2,101 pencari kerja, yang berusia antara 18 hingga 69 tahun, di Amerika Syarikat.