Microsoft forms collaborations to empower Malaysia’s next generation of innovators and entrepreneurs
July 26, 2021
Save time with Dynamic Attributes for Cisco Secure Firewall
July 26, 2021

Microsoft jalin kerjasama untuk perkasakan usahawan dan pelopor inovasi generasi akan datang Malaysia

Microsoft sertai program pecutan MaGIC, Sidec, dan Sunway iLabs sebagai rakan strategik, untuk bantu syarikat pemula tempatan bina keupayaan digital dan beralih kepada awan

Demi menyokong ekosistem syarikat pemula Malaysia dalam usaha mereka menuju puncak jaya, Microsoft akan menyertai program-program pecutan yang dilancarkan oleh Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Sunway iLabs sebagai rakan kongsi, untuk mempercepatkan pertumbuhan dan inovasi ekosistem syarikat baharu.

Memandangkan teknologi awan menjadi pemacu penting kejayaan ekonomi digital, Microsoft akan menyokong syarikat-syarikat pemula yang turut serta menerusi usaha meningkatkan kemahiran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Barangan (IoT) dan Data Raya. Peserta akan memanfaatkan sumber dan latihan global yang ditawarkan oleh Microsoft.  Tambahan lagi, Microsoft akan membantu syarikat-syarikat pemula tempatan untuk mempelajari dan membina asas awan yang kukuh dengan Microsoft Azure, sambil menyediakan latihan bagi peralihan data dan pembinaan infrastruktur. Microsoft juga akan menawarkan rundingan teknologi 1-dengan-1 bagi seni bina teknologi untuk usahawan terpilih, dengan membantu syarikat-syarikat pemula mengguna pakai dan mempercepatkan transformasi awan.

“Syarikat-syarikat pemula memainkan peranan penting menyokong pertumbuhan ekonomi negara kita,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia. “Setiap perniagaan yang berjaya sekarang bermula sebagai syarikat pemula sebelum ini. Sebagai sebahagian daripada komitmen Microsoft Bersama Malaysia, kami teruja untuk membantu usahawan-usahawan tempatan kita untuk terus mempelopori inovasi dan mencapai kejayaan. Kerjasama kami dengan MaGIC, Sidec dan Sunway iLabs akan memberi peluang kepada usahawan Malaysia untuk bersaing di pentas yang saksama, sambil memanfaatkan teknologi awan dan potensinya dalam ekonomi digital.”

Di samping itu, Microsoft telah diumumkan sebagai rakan teknologi rasmi Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS). NTIS telah dilancarkan pada Ogos 2020, menyediakan kemudahan yang membolehkan syarikat-syarikat pemula dan usahawan untuk mempelopori inovasi dan menguji produk yang direka untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh negara. Microsoft menyediakan persekitaran awan selamat menerusi Microsoft Azure untuk syarikat-syarikat pemula membangunkan dan menguji produk mereka di dalam medan ujian ini di bawah program  NTIS.

“Pada dasarnya, DNA MaGIC dibentuk oleh kreativiti dan inovasi – dengan rekod pencapaian terbukti dalam ekosistem syarikat pemula teknologi untuk mempercepatkan agenda dasar inovasi Malaysia. Menerusi usaha sama dengan Microsoft, kami mempelopori penyelesaian inovatif menjangkaui sempadan negara. Sesungguhnya kita perlu menggunakan perspektif mencipta penyelesaian untuk dunia, sambil kami memberi tumpuan kepada pendekatan lebih menyeluruh menerusi Program Pecutan Global (GAP) yang termasuk pelaksanaan teknologi, kelestarian dan kebolehsuaian. Matlamatnya ialah untuk memastikan syarikat pemula GPA, tempatan mahupun asing, dapat mengharungi persekitaran ekonomi mencabar atau sebarang krisis lain sambil berusaha mengembangkan sayap ke pasaran global,” kata Amiruddin Abdul Shukor, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC.

“Kami dengan sukacitanya mengalu-alukan Microsoft sebagai salah satu daripada rakan kerjasama kami dalam program iLabs Super Accelerator. Misi mereka adalah sejajar dengan misi kami; iaitu membina ekosistem syarikat pemula di Malaysia,” kata Matt van Leeuwen, Ketua Pegawai Inovasi, Sunway Group. “Kami percaya usaha melengkapkan usahawan dengan alat sewajarnya untuk membolehkan mereka berjaya seperti dana, capaian pasaran, bimbingan dan kemudahan teknologi dalam format tersusun amat penting pada hari ini. Usaha ini bukan sahaja akan mempercepatkan pembangunan penyelesaian yang berkaitan bagi menangani masalah besar yang kita hadapi pada hari ini, tetapi juga memainkan peranan membina kumpulan bakat berwibawa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital terkemuka di rantau ini.”

Sementara itu, Sidec telah memupuk pembangunan 90 syarikat pemula sejak Program Pecutan Selangor (SAP) dilancarkan pada 2018. Daripada 90 syarikat pemula, 43% telah menerima dana, iaitu kadar kejayaan tinggi bagi syarikat pemula.

“Kami amat menghargai keputusan Microsoft untuk menjadi rakan strategik kami dalam program pecutan kami, dengan memberikan bimbingan dan mengadakan bengkel tambahan untuk syarikat-syarikat pemula kami,” kata Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec. “SAP pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada peluang yang dicipta di bawah norma baharu seperti Teknologi Pertanian, Teknologi Kewangan, Teknologi Hijau, e-Dagang dan Penyelesaian Bandar Raya Pintar (Teknologi Hartanah, Daya Pergerakan & Logistik). Walaupun syarikat fizikal tradisional telah terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan, perniagaan yang berkaitan dengan penyelesaian kini sedang berkembang pesat.”

Memperkasakan syarikat-syarikat pemula tempatan

Microsoft telah memainkan peranan aktif bekerjasama dengan penggerak ekosistem sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memperkasakan syarikat-syarikat pemula tempatan dan memupuk ekosistem syarikat pemula tempatan yang kukuh. Peranan ini selaras dengan pelan tindakan MyDIGITAL negara ini yang menetapkan sasaran untuk menggiatkan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula tempatan dan menyokong penubuhan sekurang-kurangnya 5,000 syarikat pemula menjelang 2025. Kerjasama awam swasta amat penting untuk mencapai matlamat ini.

Pada 2020, Microsoft Malaysia melancarkan inisiatif Highway to a 100 Unicorns (Usaha Melahirkan 100 Unikorn) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MaGIC, dan Cradle Fund. Menerusi program ini, 11 syarikat pemula berpotensi tinggi tempatan kini terlibat dalam program bimbingan satu tahun dengan Microsoft bagi Syarikat-Syarikat Pemula untuk membantu mereka mempercepatkan pertumbuhan dan mengembangkan lagi perniagaan.

Microsoft juga telah menyokong MaGIC sebagai rakan teknologi menerusi program MyStartup Hub 2021 , dan baru-baru ini dengan PixaLabs bagi Kuala Lumpur Startup Summit 2021.