Microsoft launches first Asia Pacific Public Sector Cyber Security Executive Council across seven markets in the region
June 1, 2021
Snort 3: Rearchitected for Simplicity and Performance
June 2, 2021

Microsoft lancarkan Majlis Eksekutif Keselamatan Siber Sektor Awam Asia Pasifik yang pertama meliputi tujuh negara di rantau ini

Majlis ini, yang terdiri daripada para penggubal dasar dan jurupengaruh dari Brunei, Indonesia, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand, disokong oleh profesional keselamatan siber, bertujuan menggalakkan kerjasama awam swasta dalam keselamatan siber, berkongsi maklumat risikan tentang ancaman dan merancang tindak balas yang pantas dan terselaras terhadap serangan siber di rantau ini

Asia Pasifik, Malaysia, 31 Mei 2021 – Jenayah siber menimbulkan gangguan global dan menjejaskan ekonomi, mengakibatkan kerugian kewangan mencecah bertrilion Ringgit dan menggugat operasi individu dan perniagaan yang menjadi mangsa. Hakikat ini mengancam keselamatan negara dan mengurangkan keyakinan terhadap ekonomi digital dan Internet. Tambahan lagi, APAC terus mencatatkan kadar kejadian lebih tinggi daripada purata dari segi serangan perisian jahat dan perisian tebusan – iaitu 1.6 dan 1.7 kali lebih tinggi daripada kawasan lain di dunia.

Tiada satu entiti yang boleh menentang jenayah siber dengan berkesan secara bersendirian. Justeru itu, Microsoft telah melancarkan Majlis Eksekutif Keselamatan Siber Sektor Awam Asia Pasifik. Majlis ini membina perikatan antara para penggubal dasar dari agensi-agensi kerajaan dan negeri, dan juga pemimpin teknologi dan industri, dengan matlamat merangka saluran komunikasi yang kukuh untuk menangani ancaman siber dan berkongsi amalan terbaik dalam kalangan negara yang turut serta.

Seramai 15 penggubal dasar dari Brunei, Indonesia, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand telah menyertai majlis ini, dan disokong oleh profesional keselamatan siber dari Microsoft. Kerjasama ini menunjukkan komitmen penting ke arah menggiatkan kerjasama awam-swasta dalam bidang keselamatan siber, sambil menggalakkan perkongsian maklumat risikan tentang ancaman secara lebih luas supaya persediaan rapi dibuat untuk bertindak balas kepada serangan siber. Wawasan utama majlis ini ialah untuk membina komuniti di mana maklumat risikan tentang ancaman, teknologi dan sumber boleh dikongsi dengan cara yang terbuka dan tepat pada masanya.  Majlis ini akan bermesyuarat secara maya setiap suku tahun untuk terus bertukar-tukar maklumat tentang ancaman dan penyelesaian keselamatan siber.

Dalam sesi bual bicara ucaptama di Sidang Kemuncak Sektor Awam APAC pada 6 Mei 2021, Satya Nadella, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft berkongsi cara kita boleh memperkasakan negara-negara untuk membina masyarakat digital. Beliau menerangkan bahawa dalam tempoh setahun lepas, Microsoft telah menyaksikan gelombang kedua transformasi digital, dan kerajaan-kerajaan telah mempercepatkan penggunaan inisiatif teknologi untuk mendorong transformasi dan membina daya tahan. Beliau menekankan keperluan untuk mempunyai asas digital yang kukuh untuk sektor awam untuk mencapai kejayaan, dan mereka boleh melakukannya dengan mengguna pakai strategi berlandaskan data. Akhir sekali, Satya memberikan komitmen Microsoft kepada rancangan memperkasakan negara yang dilaksanakan menerusi pembukaan pusat data serantau baharu di New Zealand, Indonesia, dan Malaysia.

Dalam acara yang sama, Ann Johnson, Naib Presiden Korporat, Pematuhan Keselamatan dan Identiti, telah mempengerusikan sebuah sesi Panel Keselamatan Siber bagi ‘Membina ekosistem pertahanan siber global yang berdaya tahan’. Beliau berkata trend yang dilihat oleh Microsoft dalam jenayah siber lazimnya berkaitan dengan isu-isu semasa. Pihak-pihak yang berniat jahat mengubah suai infrastruktur mereka untuk menarik perhatian berasaskan berita terbaharu. Untuk mengekalkan perlindungan, organisasi dan kerajaan perlu membentuk ketetapan minda dengan kepercayaan sifar. Majlis Eksekutif Keselamatan Siber Sektor Awam Asia Pasifik memang ditubuhkan tepat pada masanya, membolehkan pihak-pihak berkepentingan dalam ekosistem bekerjasama dalam usaha mengutamakan pertahanan keselamatan siber negara.

Sesi tersebut telah disertai oleh 3 daripada ahli pengasas Majlis daripada CyberSecurity Malaysia, Agensi Persatuan Maklumat Kebangsaan Korea dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Thailand.

Strategi serantau yang lebih berkesan terhadap serangan siber

Sebahagian besar daripada infrastruktur teknologi dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat-syarikat persendirian. Susulan itu, ianya penting bagi pihak kerajaan untuk membentuk kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi terkemuka untuk melaksanakan strategi pertahanan siber yang berkesan dan melindungi rantau kita daripada penyerang siber.

Menurut Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, “Keselamatan siber merupakan satu agenda nasional penting yang tidak patut bergantung kepada pasukan IT semata-mata. Perkara ini seharusnya menjadi keutamaan dan tanggungjawab semua individu secara umum, berikutan aktiviti jenayah siber meningkat secara eksponen dengan keleluasaan data dan keterhubungan digital. Kerjasama ini bakal menyaksikan pakatan lebih kukuh dijalin dengan pemimpin dan pengamal industri yang akan membolehkan kita memantapkan kedudukan keselamatan dan memerangi jenayah siber.”

Mengenai masa depan ekosistem keselamatan siber dan peranan yang dimainkan oleh perikatan ini, calon Ph.D. Dr Chang Hee Yun, Penyelidik Utama Pusat AI Strategi Masa Depan, Agensi Persatuan Maklumat Kebangsaan Korea menambah, “Maklumat risikan bersama dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik amat penting untuk bersama-sama berkongsi amalan dan strategi terbaik yang akan membolehkan kami menyelesaikan cabaran keselamatan siber dengan lebih pantas dan proaktif. Memandangkan ancaman yang serupa dihadapi, kerjasama ini akan memastikan kami berada beberapa langkah di hadapan penjenayah, lantas menetapkan piawaian lebih tinggi bagi ekosistem keselamatan siber.”

Kapten Kumpulan Amorn Chomchoey, Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Thailand: Majlis eksekutif keselamatan siber ialah satu platform yang penting untuk menjalin kerjasama antara negara-negara kita.  Saya percaya hubungan lebih kukuh yang akan kita jalin menerusi majlis ini akan membolehkan kita meramalkan ancaman seawal yang mungkin, mengambil langkah pencegahan sebelum kesan jenayah siber berubah menjadi satu lagi “pandemik” untuk dunia siber.

Tahap kerjasama unik antara kerajaan dan sektor teknologi

 Sebagai sebahagian daripada Majlis Eksekutif Keselamatan Siber Asia Pasifik, agensi-agensi kerajaan dan pemimpin negara akan menyertai forum yang membabitkan Microsoft dan kumpulan penasihat industri keselamatan siber kami. Matlamat forum ialah untuk berkongsi amalan terbaik, belajar daripada latihan pensijilan keselamatan Microsoft, bengkel terkhusus dan sesi makmal secara langsung, dengan matlamat menambah baik kemahiran digital tenaga kerja bagi merapatkan jurang bakat dalam keselamatan siber meliputi negara-negara yang turut serta.

Ahli-ahli Majlis Eksekutif Keselamatan Siber Sektor Awam Asia Pasifik akan berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan berkaitan ancaman siber dan berusaha menggalakkan kerjasama dan pakatan lebih erat antara negara-negara. Usaha ini akan mempergiat usaha yang sedang dilakukan sekarang untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan siber di Asia Pasifik, termasuk menerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan Forum Global mengenai Kepakaran Siber.

“Ancaman dan serangan siber tidak dapat dielakkan dalam dunia saling terhubung masa kini, sebab pakatan dan kerjasama sebagai satu komuniti amat penting. Pengumuman hari ini menandakan langkah pertama ke arah mempertahankan komuniti-komuniti kita dalam dunia siber dan saya teruja untuk mengumumkan pelancaran Majlis Eksekutif Keselamatan Siber Sektor Awam APAC dengan ahli-ahli pengasas termasuk para pemimpin kerajaan, penggubal dasar, pengawal selia, pihak berkepentingan industri di seluruh rantau. Misi bersama kami ialah untuk membina perikatan yang teguh, demi mengukuhkan pertahanan keselamatan siber kita,” kata Sherie Ng, Pengurus Besar, Sektor Awam, Microsoft Asia Pasifik.