CISO of the month by Cisco Secure – Esmond Kane
June 25, 2021
Extending Zero Trust Security to Industrial Networks
June 28, 2021

Microsoft lancarkan Windows 11, pengalaman pengguna baharu yang mendekatkan anda dengan apa yang anda suka

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2021 – Microsoft hari ini memperkenalkan Windows 11, pengalaman baharu yang direka cipta untuk mendekatkan pengguna dengan aktiviti dan insan yang disukai mereka.

Baik ciri-ciri rekaan intuitif yang memudahkan pelaksanaan pelbagai tugasan mahupun gedung Microsoft Store yang memudahkan pengguna mendapatkan aplikasi, permainan dan filem, Windows 11 mengoptimumkan pembelajaran dan permainan dan membawakan pengalaman hebat untuk semua.

“Tempoh 18 bulan lepas telah mencetus perubahan ketara dalam cara kita semua menggunakan PC, daripada peranti yang praktikal dan berfungsi kepada sesuatu yang peribadi dan penuh emosi. Hakikatnya inilah yang memberi inspirasi kepada kami sambil kami membina generasi Windows baharu, satu platform yang dimanfaatkan oleh lebih sebilion insan. Dengan Windows 11, kami mahu membina sesuatu yang baharu di mana semua orang boleh mencipta, belajar, bermain dan paling penting, berhubung sesama mereka dengan cara yang lebih baik,” kata Panos Panay, Ketua Pegawai Produk, Microsoft.

Windows 11 akan disediakan pada PC baharu dan menerusi perkhidmatan naik taraf percuma bagi PC Windows 10 yang layak lewat tahun ini.

Sistem operasi lebih pantas lagi selamat serta reka bentuk ringkas untuk meningkatkan produktiviti

Windows 11 menampilkan antara muka serba baharu dan segar, yang memperkasakan pengguna untuk menyempurnakan kerja dan menyerlahkan kreativiti masing-masing. Pengguna boleh mencari apa yang sahaja yang diperlukan dengan mudah. Hanya perlu klik pada butang Start, yang terletak di tengah-tengah skrin. Butang Start menggunakan kuasa perkomputeran awan dan Microsoft 365 untuk memaparkan kepada pengguna, fail yang telah digunakan mereka sebelum ini merentasi pelbagai platform dan peranti, supaya pengguna boleh menyambung kerja yang dilakukan  – walaupun bagi dokumen yang digunakan pada peranti Android atau iOS mereka.

Keperluan melakukan berbilang tugasan kini lebih mudah dengan ciri-ciri Windows 11 baharu seperti Snap Layouts, Snap Groups, dan Desktops yang membantu pengguna menyusun tetingkap mereka dan mengoptimumkan ruangan dalam skrin. Pengguna kini boleh menikmati fleksibiliti menggunakan berbilang tetingkap dan pelbagai aplikasi secara serentak dengan menyusun aplikasi secara bersebelahan pada skrin mereka. Dengan Desktops, pengguna boleh menyesuaikan ruangan bagi setiap aspek kehidupan mereka seperti kerja, permainan atau sekolah dan bertukar ganti mengikut kehendak hati.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat penting bagi mereka dengan lebih pantas dengan ciri Widgets, yang membawakan berita terpilih berasaskan teknologi AI (Kecerdasan Buatan) dan pelayar Internet yang terbaik dalam kelasnya, Microsoft Edge. Bagi pencipta dan penerbit, Widgets membuka ruangan baharu di dalam Windows untuk memuatkan kandungan peribadi.

Windows 11 direka bentuk untuk menjadi sebuah sistem operasi selamat yang sesuai bagi kaedah kerja dan pembelajaran hibrid. Direka bentuk secara selamat, sistem operasi ini menggunakan teknologi keselamatan sedia terbina dan dikendalikan berasaskan konsep Zero Trust (Kepercayaan Sifar) untuk melindungi data dan capaian pada setiap peranti.

Menambah baik pengalaman pengguna bagi permainan, hiburan dan perhubungan

Windows 11 dilengkapi dengan Microsoft Store serba baharu, yang telah dibina semula untuk kepantasan, kepelbagaian dan kemudahan. Gedung ini menawarkan katalog aplikasi pihak pertama dan ketiga lebih luas, yang telah diuji untuk keselamatan dan perlindungan keluarga, membawakan pengalaman luar biasa untuk menghiburkan, memberi inspirasi dan menghubungkan pengguna. Buat julung kalinya, aplikasi Android boleh didapati dalam Microsoft Store, dan pengguna juga boleh memuat turun aplikasi ini menerusi Amazon App Store, satu proses lancar yang dilaksanakan menerusi kerjasama Microsoft dengan Amazon.

Seperti Windows 10, Microsoft komited untuk menjamin keserasian aplikasi pada  Windows 11 dengan App Assure, perkhidmatan yang membantu pelanggan dengan 150 atau lebih penyelesaian untuk membetulkan sebarang masalah aplikasi yang dihadapi tanpa sebarang kos tambahan.

Windows 11 juga menggunakan sepenuhnya potensi perkakasan sistem, memanfaatkan teknologi permainan terkini dan memberikan pengalaman permainan terulung yang mengasyikkan kepada pengguna menerusi:

  • DirectX 12 Ultimate, yang membolehkan pengguna menikmati grafik yang mengagumkan dan mengasyikkan pada kadar kerangka tinggi.
  • DirectStorage menyediakan masa muat naik pantas dan dunia permainan lebih terperinci.
  • Auto HDR membawakan rangkaian warna lebih terang bagi pengalaman visual yang benar-benar menarik.
  • Capaian kepada lebih 100 permainan PC bermutu tinggi dan permainan baharu, yang sentiasa ditambah dan boleh didapati oleh pelanggan Xbox Game Pass for PC or Ultimate.

Windows 11 menawarkan cara yang lebih pantas kepada pengguna untuk berhubung dengan orang-orang tersayang dengan menempatkan Microsoft Teams di palang Taskbar, membolehkan pengguna berhubung serta-merta menerusi pesanan ringkas, aplikasi sembang, suara atau video dengan orang-orang tersayang di mana-mana sahaja di dunia, merentasi platform Windows, Android atau iOS. Bagi rakan-rakan dan keluarga tanpa aplikasi Teams, pengguna masih boleh berhubung dengan mereka menerusi SMS dua hala. Penyepaduan dengan ciri-ciri produktiviti Teams juga telah ditambah baik, membolehkan pengguna memulakan pembentangan atau mematikan fungsi mikrofon terus daripada Taskbar.

Membina ekosistem yang lebih terbuka bagi pencipta dan pereka

Microsoft terus membuka langkah untuk menawarkan peluang baharu kepada pereka dan pencipta dengan membina ekosistem Windows 11 yang lebih terbuka,  demi manfaat pereka dan membawakan lebih banyak aplikasi, permainan, filem, rancangan dan kandungan web kepada pengguna:

  • Pencipta dan aplikasi vendor perisian bebas (ISV) boleh memperkenalkan aplikasi mereka di Microsoft Store tanpa mengira rangka kerja binaan aplikasi seperti Win32 atau Progressive Web App (PWA).
  • Perubahan progresif kepada dasar perkongsian hasil Microsoft yang bermaksud pereka boleh menyumbang 100% daripada hasil dagangan mereka. Pencipta aplikasi masih boleh menggunakan ekosistem perdagangan Microsoft dengan perkongsian hasil kompetitif pada kadar 85/15.

Untuk maklumat lanjut mengenai ciri-ciri terbaharu, sila lihat di sini.