Microsoft announces plans to establish its first datacenter region in Malaysia as part of “Bersama Malaysia” initiative to support inclusive economic growth
April 19, 2021
11 Resources to Help You Get Started in the Cybersecurity Industry
April 19, 2021

Microsoft umum pembangunan pusat data serantau pertama di Malaysia sebagai sebahagian inisiatif “Bersama Malaysia” bagi menyokong pertumbuhan ekonomi terangkum

“Bersama Malaysia” meliputi komitmen untuk meningkat kemahiran seramai 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang akhir 2023, menjalin kerjasama sektor awam dan swasta dan menubuhkan “MyDigital Alliance Leadership Council”

Kuala Lumpur, Malaysia – 19 April 2021 – Microsoft Corp. telah mengumumkan inisiatif “Bersama Malaysia” hari ini, satu komitmen penting untuk memperkasakan ekonomi digital terangkum Malaysia dan menggiatkan transformasi digital negara membabitkan sektor awam dan swasta. Sebagai sebahagian daripada rancangan tersebut, Microsoft akan menubuhkan pusat data serantau (“datacenter region”) pertamanya di negara ini untuk menyediakan perkhidmatan awan yang boleh diyakini di dalam negara, dengan tahap keselamatan data dan privasi bertaraf dunia di samping keupayaan menyimpan data di dalam negara. Microsoft juga mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kemahiran untuk 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 dalam usaha membuka peluang ekonomi bagi insan dan perniagaan dalam era digital.  Akhirnya, Microsoft akan membentuk MyDigital Alliance Leadership Council untuk sama-sama mengemukakan cadangan bagi merangka dasar ‘cloud-first’ (mendahulukan awan) dan ‘digital-native’ (asli digital).

Pengumuman hari ini merupakan satu mercu jaya penting dalam sejarah 28 tahun Microsoft bertapak di negara ini dan menyokong matlamat MyDigital Kerajaan Malaysia untuk mengubah negara menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital. Menurut kajian IDC[1], pelaburan Microsoft di Malaysia akan membantu menjana sehingga USD 4.6 bilion[2] dalam hasil baharu sepanjang tempoh empat tahun akan datang dalam ekosistem rakan-rakan kerjasama tempatan dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan awan di negara ini.  Tambahan lagi, kajian tersebut menganggarkan bahawa Microsoft dan rakan-rakan kerjasama serta pelanggan yang menggunakan awan akan bersama-sama mencipta 19,000 peluang pekerjaan secara langsung atau tidak langsung.

“Pengumuman hari ini menandakan satu kejayaan besar bagi Microsoft sepanjang tempoh 28 tahun kami beroperasi di Malaysia. Kami juga berkongsi komitmen Kerajaan untuk memastikan transformasi digital dapat dilaksanakan secara terangkum dan bertanggungjawab. Oleh yang demikian, kami berikrar untuk memperkasakan seramai 1 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, membantu mereka memanfaatkan peluang yang muncul daripada pelaburan baharu ini. Pembinaan infrastruktur digital sesungguhnya penting untuk memajukan ekonomi digital negara. Pusat data serantau yang bakal dibina akan menjadi pencetus perubahan bagi Malaysia, membolehkan kerajaan dan perniagaan untuk menyusun semula dan merombak operasi mereka, demi manfaat semua lapisan rakyat.” kata Jean-Philippe Courtois, Naib Presiden Eksekutif dan Presiden, Jualan, Pemasaran dan Operasi Global, Microsoft.

“Kami berbangga untuk memeterai kerjasama dengan Malaysia untuk merancakkan lagi perkembangan ekonomi digital negara. Kerjasama awam-swasta ialah faktor pendorong penting yang bakal memacu ekonomi digital Malaysia. Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia mencerminkan komitmen bersama kami untuk menyokong aspirasi MyDigital negara, sambil kami memperkasakan setiap insan dan setiap organisasi di Malaysia untuk mencapai lebih lagi. Dengan lebih daripada 200 kakitangan dan 2,000 rakan kerjasama di negara ini, kami akan terus menyokong kerajaan berkeupayaan digital, memperkasakan perniagaan untuk membina ketahanan digital, dan merapatkan jurang peluang digital bagi rakyat Malaysia. Kami berdiri teguh bersama Malaysia,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

YouTube Video

Infrastruktur dan kerjasama digital untuk memajukan ekonomi digital Malaysia

Microsoft akan menubuhkan pusat data serantau (“datacenter region”) pertama di persekitaran Kuala Lumpur (“Greater Kuala Lumpur”), dan menyediakan capaian kepada kemudahan Microsoft Could serba lengkap, yang termasuk:

  • Microsoft Azure, yang membolehkan sesiapa sahaja mereka cipta dengan tujuan khusus menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awan merangkumi perkomputeran, perangkaian, pangkalan data, analitik, AI dan Internet Benda (Internet of Things – IoT);
  • Microsoft 365, untuk berhubung, bekerjasama, bekerja secara jarak jauh dan belajar di dalam talian dengan alat produktiviti inovatif;
  • Dynamics 365 dan Power Platform, untuk membina dan menguruskan penyelesaian perusahaan kritikal yang boleh diskala, dengan aplikasi perniagaan pintar.

Pusat data serantau baharu ini juga akan menyediakan Zon Ketersediaan Azure (Azure Availability Zones), menyediakan daya tahan lebih kukuh bagi aplikasi yang sentiasa tersedia, sambil menyokong matlamat kelestarian Microsoft.  Malah Microsoft telah membuat komitmen global untuk beralih 100 peratus kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025. Ini bermakna, Microsoft akan mempunyai perjanjian pembelian kuasa untuk tenaga hijau bagi menggantikan 100 peratus bekalan kuasa yang menghasilkan karbon yang digunakan oleh semua pusat data, bangunan dan kampusnya, termasuk pusat data serantau yang dirancang di Malaysia.

Microsoft akan berganding bahu dengan kerajaan, syarikat pemula dan perusahaan untuk menyokong matlamat transformasi digital negara. Lebih khusus lagi, Microsoft dengan kerjasama Inisiatif Penyelidikan Sosial & Ekonomi (SERI) telah menubuhkan MyDigital Alliance Leadership Council untuk bekerjasama dalam merangka cadangan dasar ‘cloud-first’ dan ‘digital-native’. Mesyuarat pertama Majlis membincangkan pendigitalan sektor pendidikan untuk membina tenaga kerja digital Malaysia yang berdaya saing. Tambahan lagi, syarikat-syarikat terkemuka Malaysia seperti Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Celcom Axiata Berhad telah bertekad untuk memainkan peranan membantu Malaysia membina negara dan mencapai cita-cita digitalnya, serta menggunakan Microsoft Cloud daripada pusat data serantau beroperasi kelak.

“Kerjasama dengan Microsoft menekankan komitmen PETRONAS untuk menyediakan tenaga kerja yang sedia menghadapi masa hadapan bagi menyokong ekonomi digital Malaysia. Sebagai rakan tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkaya kehidupan insan demi masa depan yang lestari, pembangunan modal insan yang berterusan memainkan peranan penting terhadap keupayaan kami beroperasi dan bersaing. Kami berharap untuk menggiatkan usaha meningkatkan kemahiran pekerja tempatan yang berbakat, dengan matlamat membina masa depan digital yang terangkum demi manfaat rakyat dan negara,” kata Tengku Muhammad Taufik, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PETRONAS.

“Sektor telekomunikasi dan teknologi ibarat nadi penggerak ekonomi digital negara. Perkhidmatan awan bertaraf dunia akan menjadi tunjang yang membentuk hala tuju masa depan dalam usaha kita menjadi kuasa ekonomi digital di rantau ini. Kami mengalu-alukan rancangan Microsoft untuk menubuhkan pusat data serantau pertama di Malaysia, menyediakan capaian kepada perkhidmatan awan yang selamat, boleh diskala, sentiasa tersedia, berdaya tahan dan mampan bagi kerajaan dan meliputi pelbagai industri terkhusus. Sebagai anchor tenant syarikat telekomunikasi utama, kami berharap untuk membawakan manfaat pusat data serantau ini kepada pelanggan dan rakan-rakan niaga kami. Menerusi kerjasama dengan Microsoft, kami akan terus berkhidmat kepada pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan awan yang selamat dan boleh dipercayai, yang menggalakkan pembangunan ekosistem digital yang pesat dan mencapai aspirasi digital negara dengan cara yang mampan,” kata Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad.

Microsoft, bersama rakan kerjasama tempatannya Enfrasys Solutions, telah dilantik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menyediakan perkhidmatan awan kepada agensi-agensi sektor awam Malaysia sehingga 2023. Microsoft juga akan bekerjasama dengan  Censof Holdings, Silverlake Group, dan Web Bytes untuk menggiatkan transformasi digital dalam industri utama negara, termasuk perkhidmatan kewangan, makanan dan minuman dan juga sektor awam.

Memperkasakan Malaysia dengan peluang terangkum

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia, Microsoft komited untuk melengkapkan individu dengan kemahiran dan peluang saksama untuk berkembang maju dalam ekonomi digital berasaskan awan dan AI. Untuk mencapai matlamat ini, Microsoft akan memahirkan seramai 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang Disember 2023. Antaranya termasuk usaha yang dilaksanakan bersama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Junior Achievement Malaysia, TalentCorp Malaysia, MAMPU, Grab Malaysia, Biji-Biji Enterprise dan universiti-universiti tempatan untuk memberi manfaat kepada rakyat dari semua latar belakang sosioekonomi, termasuk dewasa muda dan orang kelainan upaya. Komitmen ini ialah susulan kepada inisiatif kemahiran global Microsoft yang dilaksanakan sejak Julai 2020, yang telah memberi manfaat kepada 110,000 rakyat Malaysia setakat ini.

 


[1] Imbasan Info IDC, ditaja oleh Microsoft, Imbasan Dividen Awan  Microsoft: Malaysia, Doc. #US46918020, Oktober 2020

[2] RM19 bilion berasaskan kadar tukaran Bank Negara Malaysia. Kadar Tukaran: USD 1=RM 4.1405 pada 5 April 2021