Inside Cisco’s performance in the 2020 MITRE Engenuity ATT&CK® Evaluation
April 22, 2021
MyDigital Alliance: Public-Private Partnerships to Transform Malaysia’s Digital Workforce
April 26, 2021

MyDigital Alliance: Kerjasama Awam-Swasta Untuk Tingkatkan Kemahiran Tenaga Kerja Digital Malaysia

Para pemimpin daripada sektor awam dan swasta bekerjasama untuk merangka dasar ‘cloud-first’ (mendahulukan awan) dan ‘digital-native’ (asli digital) untuk menggiatkan pembangunan tenaga kerja digital Malaysia yang berdaya saing di peringkat global

KUALA LUMPUR, 26 April 2021 – Para pemimpin daripada sektor awam, swasta, masyarakat sivil dan dunia akademik kini berganding bahu di dalam MyDigital Alliance Leadership Council: yang merupakan usaha untuk meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran tenaga kerja digital Malaysia menerusi dasar-dasar transformasi pendidikan dan kemahiran. Matlamat majlis ini adalah untuk menyokong aspirasi MyDigital Malaysia, termasuk melahirkan bakat yang tangkas dan bingkas, dan memastikan setiap insan mempunyai peluang saksama untuk menerima manfaat dan memanfaatkan ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat.

Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)
Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

“Dasar digital-first atau mendahulukan digital penting untuk menaik taraf masyarakat, memacu pertumbuhan ekonomi inklusif dan meningkatkan daya saing Malaysia. Untuk menjadi sebuah ekonomi pendapatan tinggi, kita perlu melaksanakan pelbagai pembaharuan dan memperkenalkan faktor pendorong. Teknologi dan kemahiran merupakan pemangkin asas, manakala kebingkasan bakat-bakat digital menjadi penentu kejayaan kita pada masa depan,” kata Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), yang mempengerusikan mesyuarat pertama MyDigital Alliance baru-baru ini.

Dato’ Sri Mustapa menekankan bahawa bakat digital adalah salah satu daripada peneraju paling penting ekonomi digital Malaysia. “Untuk membolehkan kita bangkit lebih kukuh selepas pandemik, pembangunan kemahiran perlu diutamakan dalam usaha menggerakkan semula ekonomi kita. Menerusi kerjasama awam-swasta yang mantap ini, kita akan terus mara untuk mencapai Digital Malaysia yang berlandaskan ciri-ciri kemampanan, inklusif dan berinovasi.”

Group photo of MyDigital Alliance Leadership Council
Mesyuarat pertama MyDigital Alliance dihadiri oleh wakil daripada agensi kerajaan, pemimpin industri, NGO dan ahli akademik.

MyDigital Alliance Leadership Council telah ditubuhkan oleh Microsoft sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia, dengan usahasama Social & Economic Research Initiative (SERI). Usaha ini bertindak sebagai platform yang disertai oleh pelbagai pemegang taruh dan pihak relevan dalam usaha merangka cadangan dasar mendahulukan awan dan asli digital demi kemajuan ekonomi digital negara. Ianya membabitkan siri mesyuarat yang dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan untuk merangka dan mencadangkan dasar untuk era digital.

“Ketika kita menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi semasa, kami juga sedar akan kesan positif yang diwujudkan oleh ekonomi digital terhadap negara dan rakyat. Kita perlu merangka dasar teknologi yang akan memastikan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dengan holistik dan menyeluruh,” kata Dr Helmy Haja Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif SERI.

Dr Helmy Haja Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif SERI
Dr Helmy Haja Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif SERI.

Mengenai kepentingan menggalakkan pembangunan bakat-bakat digital Malaysia, menurut Dr Helmy, “Dalam dunia semasa yang dipenuhi gangguan teknologi dan perubahan yang ketara, bakat, pendidikan dan kebolehpasaran graduan adalah faktor pendorong kritikal yang memastikan peluang ekonomi tersebar secara inklusif. Kemahiran menjadi blok binaan ekonomi pasca COVID yang berdaya tahan. Kami, bersama dengan Microsoft, berhasrat untuk membentangkan kepada Kerajaan Malaysia penemuan dan cadangan dasar untuk membolehkan cita-cita Digital Malaysia tercapai.”

Dr Jasmine Begum, Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Kerajaan, Pasaran Baharu ASEAN dan SEA
Dr Jasmine Begum, Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Kerajaan, Pasaran Baharu ASEAN dan SEA Microsoft

Mesyuarat pertama MyDigital Alliance dihadiri oleh wakil daripada agensi kerajaan, pemimpin industri, NGO dan ahli akademik, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia, PETRONAS, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), TalentCorp, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Yayasan Hasanah, Universiti Teknologi PETRONAS, dan Pasukan Bola Sepak Buta Kebangsaan.

K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia
K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.

“Dalam usaha Malaysia menggiatkan proses pendigitalan, modal insan akan terus menjadi nadi penggerak transformasi ini. Kami sedar bahawa kami perlu terus memahirkan, mengubah kemahiran dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan. Usaha ini amat penting kerana pekerjaan pada masa depan semakin bersifat digital sejajar dengan ekonomi digital yang kian berkembang. Oleh itu, kami komited untuk membawakan kemahiran digital kepada 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang Disember 2023 sebagai sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia. Dalam usaha mencapai matlamat ini, kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan dan rakan-rakan kerjasama kami, termasuk MAMPU, SERI, HRD Corp, TalentCorp, Grab Malaysia, PERKESO dan Junior Achievement Malaysia, untuk menjayakan transformasi dan mengembangkan ekonomi digital inklusif Malaysia,” kata K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia.