SK Taman Bukit Indah wins global award from Microsoft for digitalizing education and community efforts
December 17, 2020
Talos Tools of the Trade
December 17, 2020

SK Taman Bukit Indah diiktiraf anugerah global Microsoft atas usaha mendigitalkan pendidikan dan komuniti

MALAYSIA, 16 DISEMBER 2020 – Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah (SKTBI) yang terletak di Bandar Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini memenangi gelaran “Sekolah Impak Terbesar Tahun 2019-2020” bagi Sekolah Bestari Microsoft (Microsoft Showcase Schools). Anugerah ini mengiktiraf usaha sekolah tersebut mendigitalkan pendidikan dan kesan luar biasanya terhadap masyarakat sekitar.

SKTBI adalah salah satu daripada tiga sekolah di peringkat global dan satu-satunya di Asia untuk menerima Anugerah tersebut, daripada 325 buah sekolah dari 58 negara yang merupakan sebahagian daripada program Sekolah Bestari Microsoft. Pemenang anugerah lain termasuk Treorchy Comprehensive School di United Kingdom dan Gray Middle School – Tacoma Public School di Amerika Syarikat.

Semasa mengucapkan tahniah kepada SKTBI atas anugerah ini, Puan Maznah binti Abu Bakar, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia berkata, “Bagi pihak komuniti pendidikan Malaysia, kami menyanjung tinggi dan memuji SKTBI atas kemenangan mereka. Dedikasi mereka bukan sahaja dalam usaha mengguna pakai teknologi, tetapi juga melatih masyarakat sekitar dengan kemahiran digital, yang nyata memperlihatkan aspirasi kita untuk mencapai matlamat pendigitalan. Transformasi ini bukan sahaja merangkumi penggunaan, tetapi juga melibatkan perubahan ketetapan minda dalam kalangan guru, murid dan juga ibu bapa. SKTBI telah membuktikan bahawa adalah tidak mustahil, walaupun dalam suasana mencabar seperti sekarang, untuk menempa kejayaan dan terus menyokong pendidikan menerusi penggunaan teknologi yang inovatif di bilik darjah.”

SKTBI juga merupakan sekolah pertama di Malaysia untuk mendapatkan akreditasi pakar Pendidik Inovatif Microsoft (Microsoft Innovative Educator, MIE) untuk semua gurunya. Pentauliahan ini merupakan pengiktirafan global terhadap komitmen guru-guru untuk menerapkan teknologi ke dalam pengajaran dan pembelajaran.

Encik Rasman Bin Abdul Karim, Guru Besar SKTBI berkata, “Kami amat berbangga untuk menerima anugerah ini daripada Microsoft. Guru-guru kami telah memainkan peranan aktif mengguna pakai teknologi dalam pendidikan sebelum COVID-19 lagi. Persediaan awal tersebut telah membolehkan kami beralih kepada pembelajaran jarak jauh lebih pantas daripada biasa, selain memberi kami masa secukupnya untuk mempersiapkan guru-guru kami dan juga ibu bapa pelajar – yang memainkan peranan sama penting untuk membolehkan pelaksanaan pendidikan digital. Kami berharap proses transformasi kami akan menjadi pendorong kepada sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia untuk terus memanfaatkan teknologi bagi menambah baik sistem pendidikan sambil kita menuju ke arah masa depan digital.”

Usaha gigih SKTBI dapat dilihat daripada hasil pembelajaran lebih baik bagi para pelajar mereka dan tumpuan lebih besar terhadap kemahiran yang sedia untuk kerjaya masa depan. Tambahan lagi, dedikasi mereka untuk mencapai transformasi pendidikan telah membolehkan mereka membantu guru-guru dan sekolah-sekolah lain di Malaysia untuk menguruskan peralihan dengan lebih baik kepada kaedah pembelajaran jarak jauh dan hibrid semasa krisis COVID-19 yang sedang melanda. Kepakaran mereka untuk memanfaatkan teknologi dalam pendidikan juga membolehkan aktiviti kokurikulum diteruskan, walaupun semasa perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

Storytelling GIF
Pertandingan bercerita maya oleh murid tahun 2 SKTBI

Sebelum pandemik COVID-19 lagi, SKTBI telah mula menganjurkan sesi digital selepas sekolah pada hujung minggu, yang dirangka khas bagi ibu bapa mendapatkan pendedahan kepada platform yang digunakan dan kemahiran yang perlu dimiliki mereka untuk menambah baik pengalaman pembelajaran digital anak masing-masing. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, SKTBI telah bergabung tenaga dengan Digital Classroom untuk terus menjalankan sesi latihan jarak jauh untuk melengkapkan guru-guru lain di seluruh negara dengan kemahiran untuk memanfaatkan teknologi dalam pendidikan.

SKTBI teachers learning
SKTBI menganjurkan sesi pembelajaran digital dari masa ke masa untuk ibu bapa dan pelajar selepas sekolah. (Sesi dalam gambar dianjurkan sebelum COVID-19)

“Kami mendapati guru-guru lain juga mula sedar mereka perlu mempelajari kemahiran pembelajaran jarak jauh dan pengajaran digital sepanjang PKP. Menerusi kerjasama kami dengan Digital Classroom, kami telah mengadakan siri-siri webinar atas talian untuk mengajar golongan pendidik kemahiran digital tanpa sebarang kos. Sambutan daripada golongan pendidik amat positif. Dengan perkongsian ilmu ini, mereka boleh meneroka cara baharu untuk mengajar, bekerjasama dan memanfaatkan kemahiran baharu ini demi meningkatkan pengalaman bilik darjah maya mereka,” kata Mohd Fadzli Bin Ishak, guru di SKTBI.

DELIMA Gif
Webinar dalam talian yang dikendalikan oleh Cikgu Fadzli untuk membantu pendidik lain di Malaysia menyediakan eRPH (Rancangan Pengajaran Harian) menggunakan Microsoft Teams.

Sejak itu, sekolah ini telah mengadakan berpuluh webinar, termasuk sesi perkongsian antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Korea Selatan, di mana SKTBI diberi peluang untuk berkongsi amalan terbaik mereka dengan lebih 60 sekolah dari Filipina dan Indonesia.

Pada tahun 2021, SKTBI merancang untuk terus berkongsi ilmu dan kepakaran dengan 45 sekolah di Iskandar Puteri. Mereka bercadang untuk melatih lebih daripada 90 guru dan 900 pelajar, menjadikan mereka kumpulan teras di sekolah untuk terus menyebarkan ilmu dan menggalakkan pendigitalan dalam kalangan komuniti pendidikan.

SKTBI English class
Kelas bahasa Inggeris yang dikendalikan secara maya oleh guru-guru SKTBI.

“Kami terharu untuk melihat para pendidik negara kita merintis dan mencipta kejayaan menerusi teknologi,” kata K. Raman, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia. “Pendekatan berasaskan usaha sama SKTBI terhadap pendigitalan dan dedikasi mereka untuk melengkapkan setiap insan dalam masyarakat dengan kemahiran yang perlu untuk membolehkan pembelajaran diteruskan, walaupun dalam keadaan pandemik, perlu diiktiraf dan dipuji. Kami akan terus berganding bahu dengan SKTBI dan komuniti pendidikan Malaysia secara keseluruhannya sambil kita memasuki tahun baharu. Kami juga ingin menjemput lebih banyak sekolah untuk bekerjasama dengan kami dan menjadi sebahagian daripada program Sekolah Bestari Microsoft, bagi membolehkan kami terus menyokong mereka dalam usaha bersama mencorakkan masa depan pendidikan.”

Sekolah Bestari Microsoft ialah program kendalian Microsoft yang menyokong rangkaian sekolah global untuk melaksanakan transformasi di seluruh sekolah demi memupuk budaya pembelajaran, inovasi dan penambahbaikan berterusan. Sekolah-sekolah yang turut serta memanfaatkan Rangka Kerja Transformasi Pendidikan Microsoft, dan menerima sokongan daripada Microsoft dalam bentuk panduan transformasi digital dan juga capaian kepada sumber dan kajian terbaharu. Ini termasuk penggunaan bersepadu pelbagai penyelesaian Microsoft seperti Windows, Office 365, OneNote, Skype dan banyak lagi untuk membolehkan pembelajaran dilaksanakan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa untuk pelajar mereka.

SKTBI students
Murid-murid SKTBI belajar cara untuk menulis kod (Gambar diambil sebelum COVID-19)

Pada tahun 2020, SKTBI mempunyai hampir 700 murid serta 50 orang guru dan kakitangan. SKTBI adalah satu daripada lima Sekolah Bestari Microsoft di Malaysia. Sekolah-sekolah lain di Malaysia yang telah menyertai program ini termasuk SK Taman Senangan di Pulau Pinang, SMK Kubang Kerian di Kelantan, SMK Kuala Perlis di Perlis dan SK Bandar Hilir di Melaka.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program dan inisiatif pendidikan Microsoft, sila layari:

https://www.microsoft.com/en-my/education

 


Gambar utama: Murid-murid SKTBI belajar menulis kod dengan Microsoft MakeCode, platform sumber terbuka percuma yang menyediakan kaedah untuk mempelajari pengaturcaraan dunia sebenar.

The post SK Taman Bukit Indah diiktiraf anugerah global Microsoft atas usaha mendigitalkan pendidikan dan komuniti appeared first on Microsoft Malaysia News Center.