Celebrating the invisible moments of teachers
May 16, 2021
Forrester Recognizes Cisco Secure Endpoint Advancements – Promotes to Strong Performer
May 16, 2021

Sumbangan tidak ternilai insan bergelar guru

(Gambar utama: Cikgu Kamariah dari SK Gong Balai)

Menjadi guru bukan satu tugas yang mudah. Walaupun dengan segala cabaran yang dihadapi tahun lepas, guru-guru kita gigih melaksanakan amanah dan memberikan yang terbaik. Baik berkunjung dari rumah ke rumah untuk membantu pelajar yang mengalami masalah mengikuti pembelajaran jarak jauh, mahupun menyewa lokasi luar untuk menyampaikan kelas dalam talian yang berkualiti.

Guru-guru kita tabah menyahut cabaran dan menunjukkan tahap keprihatinan yang luar biasa kepada anak murid mereka. Tanpa bilik darjah di sekolah pun kami telah melihat guru-guru kita membuktikan bahawa pembelajaran boleh berlaku di mana-mana, sambil mereka meneroka cara kreatif baharu untuk mengajar dan berinteraksi dengan pelajar dari jauh.

Sempena Hari Guru, marilah kita bersama-sama meraikan sambil menyusuri kisah perjalanan mereka – dan menghargai jasa guru di seluruh negara, yang berusaha memastikan pembelajaran sentiasa diteruskan dan tiada murid yang ketinggalan.

 


Mendapatkan sokongan untuk memastikan setiap keluarga ada telefon pintar untuk pembelajaran jarak jauh

Di sebuah perkampungan kecil Gong Balai di Marang, Terengganu, ramai murid di dalam kelas  Cikgu Kamariah binti Awang tiada telefon pintar. “Malah tidak ramai ibu bapa memiliki telefon pintar,” beliau kata. Kebanyakan penduduk tempatan di perkampungan ini terdiri daripada petani dan nelayan dalam kumpulan pendapatan isi rumah B40 (kumpulan 40 peratus terbawah).

Cikgu Kamariah telah mengambil inisiatif dengan mencari sumbangan demi memastikan ibu bapa tersebut memiliki telefon pintar seperti ibu bapa yang lain. “Berkat sokongan daripada penderma individu, kami dapat menyumbang telefon pintar kepada keluarga-keluarga ini, membolehkan pelajar kami meneruskan pengajian pada peringkat awal PKP,” katanya.

Guru dari SK Gong Balai ini juga perlu menyampaikan pelajaran secara kreatif menerusi platform media sosial – termasuk Facebook, YouTube dan TikTok.  “Walaupun ada ibu bapa yang memiliki telefon pintar, kebanyakan mereka tidak dapat memasang aplikasi terkini kerana ruang simpanan atau RAM yang terhad. Ini bermakna kami perlu terus berhubung dengan ibu bapa untuk memahami kaedah paling berkesan untuk mengadakan kelas, menerusi pelbagai platform. Selain daripada kaedah pengajaran dalam talian, kami juga bergantung kepada penyampaian ‘di luar talian’, termasuk memberikan lembaran kerja dan bahan pembelajaran terlebih dahulu kepada para pelajar,” tambahnya.

Harapan paling besar guru berhati mulia ini bagi murid-muridnya ialah agar mereka ‘melihat dan belajar di luar kelaziman’, dan berhubung dan berinteraksi dengan pelajar dari seluruh dunia sebagai dorongan kepada mereka untuk terus menimba ilmu.

“Menerusi platform digital, saya terus menggalakkan murid-murid saya untuk bersikap berani dan yakin apabila bercakap dengan rakan sebaya mereka. Saya juga mengadakan sesi yang membolehkan pelajar saya berinteraksi dengan pelajar di luar negara dalam Bahasa Inggeris menggunakan Microsoft Teams. Saya berharap sesi-sesi ini akan membina kemahiran dan keyakinan mereka, dan kita harus berbangga walaupun jika kita berkomunikasi dalam loghat tempatan. Anak murid saya adalah inspirasi saya selamanya. Siapalah guru tanpa anak muridnya.”

 


Membina studio sendiri untuk menyampaikan kelas maya dengan lebih berkesan dan interaktif

Cikgu Wan Zanariah, NS Matriculation College

Ramai guru, termasuk Cikgu Wan Zanariah dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, mula belajar mengadakan kelas menerusi video atas permintaan dengan Microsoft PowerPoint, membolehkan pelajar belajar apabila mereka kelapangan, mengikut keupayaan mereka sendiri.

Kaedah pengajaran ini amat penting kerana ramai pelajar pada peringkat awal masih menyesuaikan diri dengan pembelajaran jarak jauh dan menghadapi jadual yang berubah-ubah. Tetapi apabila pembelajaran jarak jauh dilanjutkan lagi, guru-guru perlu lebih kreatif untuk berinteraksi dan melibatkan pelajar mereka.

“Sambungan Internet di rumah saya tidak begitu stabil. Justeru, saya mula menyewa lot kedai dengan sambungan Internet lebih pantas untuk mengendalikan kelas dalam talian. Kami bermula dengan hanya sebuah meja dan komputer riba. Secara beransur-ansur, kami melabur dalam kelengkapan baharu supaya kami dapat menyampaikan kelas yang lebih berkualiti, menyediakan pengalaman pembelajaran dalam talian yang lebih baik kepada murid-murid kami. Kini studio kecil saya dilengkapi dengan kotak lampu, mikrofon, skrin kedua dan juga layar hijau,” ujar beliau.

Mengenai apa yang mendorongnya sepanjang tempoh ini, beliau berkata, “Saya rasa puas hati apabila pelajar menyampaikan penghargaan mereka menerusi pesanan ringkas atau ulasan semasa atau selepas kelas.  Penghargaan sedemikian mungkin nampak kecil tetapi kesan cukup besar untuk mendorong kita terus meningkatkan keupayaan diri untuk membolehkan murid-murid mendapatkan pengalaman belajar yang terbaik.”

 


Merapatkan jurang bagi pelajar dengan keperluan pendidikan khas

Cikgu Nurul Nadiah, SK Rengit, Johor

Cikgu Nurul Nadiah dari Sekolah Kebangsaan Rengit, Johor agak khuatir pada peringkat awal pembelajaran jarak jauh. Beliau mengajar sebuah Kelas Integrasi, yang terdiri daripada murid-murid dengan keperluan pendidikan khas dan masalah pembelajaran.

“Saya terpaksa mencuba kaedah pengajaran baharu dan meningkatkan kemahiran diri, seperti belajar mencipta kandungan video interaktif dan menggunakan aplikasi digital baharu yang meningkatkan tahap penglibatan pelajar. Walaupun dengan segala cabaran yang dihadapi, murid-murid sentiasa berminat untuk belajar,” kata beliau.

Mengulas mengenai cara penggunaan teknologi telah menambah baik pengalaman pembelajaran murid-murid; “Saya menggabungkan pelbagai pilihan untuk memastikan pelajar terus terlibat. Ini termasuk projek Minecraft Education Edition, kaedah e-pembelajaran Microsoft Teams dan tugasan video. Malah, murid-murid saya telah meningkatkan keyakinan dan kemahiran bertutur menerusi tugasan video, termasuk pelajar dengan masalah pertuturan. Tanpa hubungan bersemuka, memang mencabar untuk meminta mereka menyiapkan tugasan, tetapi kami bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh ibu bapa.”

Beliau berkongsi salah satu daripada pengalaman paling manis yang beliau lalui sebagai guru. Menurutnya, “Salah seorang daripada pelajar saya yang bernama Adeef, tidak mempunyai komputer tetapi sangat berminat untuk menyertai Pertandingan Minecraft anjuran Kementerian Pendidikan tahun lepas. Saya meminjamkan komputer riba peribadi saya untuk dia gunakan, dan saya berbangga untuk menyatakan bahawa beliau telah muncul sebagai salah seorang daripada juara! Saya cukup kagum dengan apa yang boleh dicapai oleh murid-murid kita dalam suasana sukar apabila kita memberi mereka kelengkapan dan peluang yang sewajarnya.”

 


Sekolah di Johor kerjasama dengan guru-guru di negara lain untuk menerapkan amalan terbaik di peringkat tempatan

Cikgu Fadzli, SKTBI

Cikgu Mohd Fadzli bin Ishak, from SK Taman Bukit Indah, Johor, memang penyokong tegar penggunaan teknologi dalam pembelajaran bilik darjah abad ke-21. Bukan sahaja Cikgu Fadzli menganjurkan webinar untuk membantu guru-guru lain menyesuaikan diri dengan pengajaran jarak jauh, beliau juga memainkan peranan aktif bekerjasama dengan guru-guru di luar negara menerusi rangkaian Sekolah Bestari Microsoft (Microsoft Showcase Schools), termasuk sekolah-sekolah dari Amerika Syarikat, Belanda, Hungary, Sepanyol, Korea Selatan, Filipina dan Indonesia, untuk berkongsi amalan terbaik dari seluruh dunia.

“Pelajar mungkin tiada kesempatan untuk menggunakan teknologi di rumah. Jadi sebagai guru, kami bertanggungjawab untuk memastikan pelajar kami bersedia untuk masa depan,” katanya. Sebelum pandemik, sekolah ini telah menganjurkan sesi digital selepas sekolah pada hujung minggu, secara khusus untuk membolehkan ibu bapa mendapatkan pendedahan kepada platform yang digunakan dan kemahiran yang perlu diketahui mereka untuk menambah baik pengalaman pembelajaran digital anak mereka.

Sebagai pengiktirafan kepada usaha SKTBI, sekolah ini telah dipilih sebagai satu daripada tiga sekolah di dunia untuk menerima anugerah “Sekolah Keberkesanan Tertinggi 2019-2020 bagi Sekolah Bestari Microsoft”. Sekolah ini juga merupakan satu-satunya sekolah di Asia untuk menerima anugerah tersebut, mengatasi 325 institusi pendidikan lain dari 58 negara di seluruh dunia.

 


Menerajui transformasi digital menerusi perubahan ketetapan minda

Cikgu Hajah Noridah, SESERIBagi Cikgu Hajah Noridah, Pengetua Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, Pahang, usaha mengubah ketetapan minda guru amat dititikberatkan.

“Pengajaran jarak jauh ialah satu pengalaman baharu bagi kita semua dan kami menyedari bahawa kemahiran kita adalah terhad dari segi penggunaan platform digital untuk tujuan e-pembelajaran. Saya telah menjalankan satu tinjau selidik untuk lebih memahami keperluan guru-guru kami dan selepas beberapa perbincangan, kami menganjurkan sesi taklimat dan latihan dengan segera untuk membantu guru-guru kami membiasakan diri mereka dengan alat digital yang ada. Sesi tersebut meningkatkan keyakinan guru-guru kami untuk menggunakan platform digital seperti Microsoft Teams untuk kelas mereka,” katanya.

Hajah Nordiah kemudiannya dilantik sebagai Pengetua baharu di SM Sains Seri Puteri Kuala Lumpur mulai bulan Mei 2020, di mana beliau meneruskan usaha transformasi digital sekolah tersebut. Tambah beliau, “Harapan saya ialah murid-murid saya akan dapat mencapai aspirasi Malaysia di bawah Falsafah Pendidikan Negara dan mengamalkan budaya digital sepenuhnya demi manfaat negara. Ini akan membantu mengukuhkan sektor akademik pada masa depan dan menggiatkan lagi usaha negara untuk melaksanakan pendidikan digital.”

 


Kisah-kisah ini adalah antara pelbagai lagi kisah guru cemerlang, dan anda tidak perlu pergi jauh untuk mencari lebih banyak kejayaan seperti ini.

Di seluruh negara, guru-guru kita berada di hadapan dalam mempelopori inovasi pendidikan. Mereka telah bekerja secara individu dan bersama rakan-rakan seperjuangan untuk mencari penyelesaian dan mewujudkan persekitaran pembelajaran baharu bagi pelajar mereka untuk membolehkan pendidikan diteruskan.

Terima kasih Cikgu, atas segala sumbangan anda!

Selamat Hari Guru daripada kita semua.