Windows 11 Now Available in Malaysia
October 5, 2021
Autodesk envisions cloud-based production ecosystem for Media & Entertainment
October 5, 2021

Windows 11 Kini Boleh Didapati di Malaysia

Windows generasi akan datang mendekatkan pengguna dengan apa yang disukai mereka

MALAYSIA, 5 Oktober 2021 – Microsoft hari ini mengumumkan perisian Windows 11 kini disediakan menerusi kemudahan naik taraf percuma bagi komputer peribadi (PC) Windows 10 yang layak, dan juga dalam PC baharu yang sudah sedia dilengkapi dengan Windows 11. Memandangkan PC kini memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan kita, Windows 11 telah direka dengan tahap keselamatan tinggi dan ciri-ciri bertumpukan pengguna, lantas meningkatkan produktiviti dan kreativiti.

“Windows ialah daya penggerak yang mempelopori inovasi. Perisian ini merupakan platform dan wadah bagi lebih sebilion orang menjalankan tugas mereka, melakukan aktiviti kegemaran mereka dan berhubung dengan insan tersayang mereka. Dengan Windows 11, kami membayangkan semula seluruh pengalaman pengguna untuk mendekatkan anda dengan apa yang anda suka, memastikan anda seronok bekerja dan mendorong anda untuk mereka cipta. Windows 11 akan memberikan ketenangan fikiran dan mencetus rasa keterbukaan, sambil menjamin keselamatan dalam segala yang dilakukan. Kami dengan sukacitanya membawakan Windows 11 serba baharu ke Malaysia,” kata Azizah Ali, Ketua Pegawai Pemasaran, Microsoft Malaysia.

Peranti Windows 11 boleh didapati daripada semua rakan pengeluar peralatan dan menerusi peranti Surface Microsoft. Sambil peranti yang menggunakan Windows 11 dilancarkan di seluruh dunia, pengguna boleh mengambil salah satu langkah berikut untuk mendapatkan Windows 11:

  • Membeli sebuah PC baharu yang sedia dilengkapi Windows 11 dengan mengunjungi Windows.com atau peruncit tempatan anda
  • Membeli PC Windows 10 yang layak untuk menikmati kemudahan naik taraf percuma dengan mengunjungi Windows.com atau peruncit tempatan anda
  • Menggunakan aplikasi PC Health Check untuk menyemak sama ada PC Windows 10 anda yang sedia ada layak untuk kemudahan naik taraf percuma

Daripada menu Start dan Taskbar baharu kepada setiap bunyi, aksara, dan ikon yang disediakan, pengguna boleh memanfaatkan Windows 11 untuk membawakan pengalaman yang lebih moden, segar, kemas dan menarik. Dengan menu Start di tengah, pengguna diberi akses pantas kepada kandungan dan aplikasi utama mereka dan menerusi kemudahan awan dan Microsoft 365 (dijual berasingan), mereka boleh melihat fail terbaharu mereka, tanpa mengira peranti apa yang digunakan mereka, baik peranti Android mahupun iOS.

Chat daripada Microsoft Teams akan mencetus pengalaman baharu luar biasa yang mendekatkan pengguna dengan insan-insan penting dalam hidup mereka. Dengan hanya satu klik mudah, pengguna boleh berhubung serta-merta menerusi aplikasi sembang, panggilan suara atau video dengan mereka dalam senarai kenalan tanpa mengira platform atau peranti yang digunakan, sama ada Windows, Android, atau iOS. Pengguna juga boleh mendapatkan akses lebih pantas kepada maklumat yang penting bagi mereka menerusi Widgets, suapan terkhusus baharu yang dipacu oleh AI.

Microsoft Store baharu juga akan mendekatkan pengguna dengan aplikasi dan hiburan kegemaran mereka dengan menempatkan semuanya di satu tempat. Aplikasi ini akan memudahkan anda mencari dan menemui kandungan baharu dengan cerita dan koleksi terpilih.

Memperkasakan produktiviti dan menyuburkan kreativiti menerusi pengalaman baharu

Windows 11 memperkenalkan pengalaman baharu yang hebat, sama ada untuk memudahkan anda menyiapkan tugasan projek sekolah, bekerjasama menyediakan pembentangan kerja, membina aplikasi baharu atau mencipta idea hebat yang bakal menggegar dunia. Ciri-ciri Windows 11 seperti  Snap Layouts dan Groups menyediakan cara yang lebih berkesan untuk melakukan berbilang tugas dan mengoptimumkan ruang skrin yang tampak kemas dari segi visual. Desktops membolehkan pengguna mencipta Desktop tersendiri yang memaparkan set aplikasi berbeza untuk memastikan ruang kerja tertumpu dan teratur.

Kemudahan mengakses peranti telah dipertimbangkan sejak dari mula lagi dalam pembangunan Windows 11, dan ia menawarkan teknologi bantuan yang sebanding termasuk Narrator (Penutur Kata), Magnifier (Pembesar), Closed Captions (Sari Kata) dan Windows Speech Recognition (Pengecaman Pertuturan Windows) untuk membantu orang kelainan upaya dengan kekurangan upaya yang berbeza.

Microsoft juga telah menambah baik pengalaman menaip Windows 11, menerusi sentuhan dan suara. Pengguna akan melihat lebih banyak ruang antara ikon pada Taskbar, menambah sasaran sentuhan yang lebih besar dan isyarat visual halus untuk memudahkan tetingkap diubah saiz dan digerakkan, di samping menambah gerak isyarat sentuhan. Windows 11 juga dilengkapi dengan ciri haptic untuk memudahkan lagi pengguna – membolehkan mereka ‘mendengar’ dan ‘merasa’ getaran sambil mereka klik dan edit atau membuat lakaran.

Bagi pencipta perisian, sistem operasi ini juga akan menyediakan platform lebih terbuka untuk mereka menggunakan peralatan, rangka kerja dan bahasa mengikut kesukaan mereka supaya mereka boleh memanfaatkan dan seronok mencipta aplikasi yang luar biasa. Perisian ini juga akan menerima pakai semua aplikasi dan Microsoft akan terus bekerjasama dengan pencipta perisian untuk memastikan mereka selesa di Windows.

Windows 11 dibina untuk permainan

Windows 11 dibina untuk permainan komputer, dengan ciri-ciri inovatif baharu yang boleh membawakan pengalaman permainan PC pengguna ke tahap lebih tinggi. Jika PC mempunyai skrin berkeupayaan HDR, Auto HDR akan menaik taraf secara automatik lebih 1,000 permainan DirectX 11 dan DirectX 12 kepada julat dinamik tinggi, menghasilkan pilihan warna dan kecerahan yang lebih tinggi. Sesungguhnya Microsoft menyedari pilihan pemain penting, justeru Windows 11 menyediakan kemudahan membuka atau menutup Auto HDR pada setiap permainan.

Windows 11 turut memberikan sokongan bagi DirectStorage, satu ciri yang diperkenalkan buat pertama kali dalam konsol Xbox Series X dan Xbox Series S. Apabila digandingkan dengan pemacu keadaan pepejal NVMe dan DirectX 12 GPU, permainan yang menggunakan DirectStorage boleh memanfaatkan masa memuatkan perisian yang lebih pantas dan membawakan dunia permainan yang lebih terperinci dan meluas.

Membolehkan pekerjaan dan pembelajaran hibrid masa depan

Microsoft juga telah membayangkan Windows 11 sebagai sistem operasi untuk dunia pekerjaan dan pembelajaran masa depan. Perisian ini dibina berlandaskan ciri-ciri asas Windows 10 yang konsisten, serasi dan sudah dikenali yang mudah diuruskan oleh bahagian IT. Windows 11 direka cipta untuk perlindungan dari cip ke awan untuk memenuhi cabaran yang dihadapi pengguna dalam persekitaran kerja baharu ini dan juga tempoh selanjutnya. Mulai hari ini, organisasi-organisasi boleh mula beralih ke Windows 11 pada PC yang cukup berkuasa dan menerusi awan dengan Windows 365 atau Azure Virtual Desktop.

Windows 11 akan disediakan dengan pilihan paling luas dalam sebarang bentuk peranti, peralatan dan silikon, menerusi rakan pengeluar peralatan dan juga pada peranti Surface, Windows 11.

Untuk maklumat lanjut mengenai Windows 11, sila kunjungi blog kami di sini dan untuk maklumat tentang kaedah pelancaran Windows 11 menerusi naik taraf perisian, sila lihat di sini.