It was a LONG weekend — Here’s the vital info on REvil and Kaseya VSA
July 9, 2021
Softline Malaysia recognized as the winner of 2021 Microsoft Malaysia Partner of the Year
July 9, 2021

Saringan dan ujian COVID-19 yang pantas dan selesa apabila anda mendarat di KLIA pada masa depan

Penumpang pesawat  yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan perlu menjalani saringan dan ujian COVID-19 boleh menikmati pengalaman cekap, selamat dan selesa yang menyambut ketibaan mereka, dengan pembukaan makmal COVID-19 dan kemudahan pemeriksaan kesihatan baharu yang kini disediakan di dalam lapangan terbang tersebut.

Pusat saringan kesihatan tersebut membenarkan penumpang yang tiba di lapangan terbang untuk menjalani ujian dan menerima keputusan COVID-19 masing-masing dengan pantas. Penumpang dijangka menerima keputusan Ujian COVID-19 menggunakan Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) dalam masa 15 minit dan keputusan ujian Transkripsi Berbalik (RT)-PCR dalam masa 3 jam.

Kemudahan tersebut dibuka oleh BP Healthcare dengan kerjasama Malaysia Airports, dalam usaha menyediakan pengalaman kembara lebih selamat dalam suasana pandemik koronavirus, sambil mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan.

BP Healthcare Leadership team
Pasukan kepimpinan Kumpulan BP Healthcare di majlis pra-pelancaran. Dari kiri – Datuk Dr Hj Rohaizat bin Hj Yon, Penasihat Kumpulan; Puan Mah Lai Heng, Pengurus Projek dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan; Garvy Beh, Ketua Pegawai Eksekutif BP Clinical Lab dan Pengarah Eksekutif; Dato ’Dr Hj Abd Razak bin Md Yusoff, Penasihat Kumpulan.

Garvy Beh, Ketua Pegawai Eksekutif BP Clinical Lab dan Pengarah Eksekutif BP Healthcare berkata, “Kerjasama ini memang tepat pada masanya sambil negara bersiap sedia untuk membuka semula sempadan. Matlamat kami ialah memastikan semua penumpang yang masuk ke negara ini disaring dengan sewajarnya untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia. Kami sukacita untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports untuk menyediakan kemudahan ujian COVID-19 dan perkhidmatan tambah nilai berkaitan kepada semua penumpang di lapangan terbang.”

Sebagai kemudahan tambahan kepada penumpang, semua tempahan, pembayaran dan penyediaan e-baucar dan keputusan ujian bagi ujian pemeriksaan COVID-19 dan perkhidmatan berkaitan diproses secara keseluruhannya menerusi platform Doctor2U yang dipacu oleh Microsoft Azure.

Beh menambah, “Kami berharap para pengembara boleh meneruskan perjalanan dengan selamat, selesa dan fikiran yang tenang. Sejak permulaan pandemik COVID-19, BP Healthcare telah melaksanakan berjuta-juta ujian RT-PCR di seluruh negara. Semua ujian kami diiktiraf dan mematuhi piawaian terbaik yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Perubatan di Malaysia dan juga Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat.”

BP Healthcare Group telah bekerjasama dengan Microsoft Malaysia sejak 2017 untuk mengubah khidmat penjagaan secara digital dan menyediakan perkhidmatan kesihatan serba baharu, terutamanya bagi aplikasi kesihatan digital Doctor2U. Matlamatnya ialah untuk menyokong cita-cita syarikat tersebut untuk menjadi platform sehenti yang menghubungkan semua pihak berkepentingan dalam proses penjagaan kesihatan peribadi. Menerusi usaha sama ini, Doctor2U telah memanfaatkan perkhidmatan awan pintar Microsoft untuk menyepadukan teknologi Kecerdasan Buatan dan Pembelajaran Mesin ke dalam platformnya.

Tambahan lagi, Rekod Perubatan Elektronik (EMR) BP Healthcare yang dipacu oleh Microsoft Azure, membolehkan pesakit menyemak keputusan makmal, laporan dan imej Radiologi, nota doktor, preskripsi, dan sebarang rekod perubatan lain dalam satu platform – pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Penyedia penjagaan kesihatan tersebut juga menggunakan Microsoft Azure, sebuah platform patuh HIPAA dan GDPR, untuk memacu seluruh ekosistem Doctor2U. Doctor2U telah berkembang pesat sejak menggunakan platform Microsoft Azure pertama untuk menjadi tunggak seluruh Aplikasi Mudah Alih Doctor2U pada 2017. Kini, Doctor2U mempunyai lebih 10 juta pengguna dan menawarkan lebih 10 ciri penjagaan kesihatan berbeza dalam Aplikasi Mudah Alih. BP Healthcare akan memanfaatkan ciri-ciri sama bagi platform e-dagang lapangan terbang sehenti, https://airports.doctor2u.my/ yang menyokong beratus-ratus pilihan e-pembayaran dan juga tuntutan insurans yang memastikan “Penyelesaian Lengkap” dan pengalaman perjalanan lancar bagi semua penumpang yang memasuki KLIA dan KLIA2.

K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia berkata, “Perubahan dalam norma pengembaraan dan protokol perjalanan baharu telah mencetus transformasi dalam pengalaman lapangan terbang bagi pengembara di seluruh dunia. Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Doctor2U sebagai rakan mereka yang dipercayai selama ini, bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan secara digital.”

Semasa mengucapkan tahniah kepada BP Healthcare sempena pelancaran tidak rasmi pusat pemeriksaan penjagaan kesihatan tersebut, beliau menambah, ”Dalam usaha negara kita membina semula sektor pelancongan sebagai keutamaan ekonomi, kemampuan kemudahan ini untuk memberikan keputusan ujian COVID-19 pantas yang dipacu oleh Microsoft Azure akan mewujudkan pengalaman pengembara yang memuaskan.”