New Surface Laptop Go now available in Malaysia
November 25, 2020
Kudos – Technology Integrations
November 25, 2020

Surface Laptop Go baharu kini boleh didapati di Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2020 – Microsoft hari ini mengumumkan bahawa komputer riba Surface Laptop Go baharu kini boleh didapati di Malaysia menerusi wakil penjual sah komersial dan peruncit sah pada harga yang bermula daripada RM2,758.

Surface Laptop Go menjanjikan keseimbangan sempurna antara gaya, prestasi dan hayat bateri dalam komputer riba Surface yang paling ringan dan termampu setakat ini.

“Kami berbangga untuk memperkenalkan versi terbaharu dalam rangkaian peranti Surface kami yang mantap di Malaysia, menerusi Surface Laptop Go,” menurut Michal Golebiewski, Ketua Pegawai Pemasaran & Operasi Microsoft Malaysia. “Pilihan terbaharu dalam rangkaian Surface ini membuktikan komitmen kami untuk mereka bentuk Surface bagi setiap insan, gaya kerja dan lokasi. Surface Laptop Go yang ringan lagi kompak bakal memainkan peranan penting untuk menyokong profesional muda dan pelajar sambil mereka mengamalkan kerja dan pembelajaran jarak jauh dalam kebiasaan baharu masa kini. Kami telah membawakan ciri-ciri yang paling digemari oleh pelanggan Surface Laptop dalam reka bentuk yang lebih kecil dan termampu, menghasilkan sesuatu  yang bukan sahaja perlu anda gunakan, tetapi peranti yang sememangnya anda idamkan.”

Surface Laptop Go mempunyai skrin sentuh 12.4” PixelSense yang cantik[1], pad penjejak jitu yang besar dan papan kunci saiz penuh dengan pergerakan kekunci 1.3mm untuk pengalaman menaip yang tepat dan selesa. Garis bentuk canggih dan terselaras ini dipersembahkan dalam kemasan logam Platinum ringan[2].

Untuk rakam masuk yang pantas dan selamat, model tertentu Surface Laptop Go juga mempunyai Butang Kuasa Cap Jari (Fingerprint Power Button) dengan kaedah rakam masuk Satu Sentuhan (One Touch) menerusi Windows Hello. Daftar Masuk Sekali Sentuh (One Touch sign-in) juga menyediakan akses lebih pantas dan selamat kepada fail dalam OneDrive Personal Vault dan banyak lagi, supaya pengguna boleh bermula dengan pantas dan bekerja secara produktif. Surface Laptop Go dipacu oleh pemproses Intel Generasi Ke-10 i5 Quad-Core, dengan RAM sehingga 16GB dan simpanan 256GB[3]. Setiap konfigurasi dioptimumkan untuk prestasi dan hayat bateri.

Semua konfigurasi Surface Laptop Go termasuk model peringkat asas terasa cepat dan tampak bergaya, mengambil kesempatan penuh daripada pengalaman hubungan awan seperti Microsoft 365 dan simpanan dalam talian. Berbekalkan hayat bateri sehingga 13 jam[4] serta Pengecasan Pantas, peranti serba canggih ini mampu memenuhi keperluan pengguna sepanjang hari.

SLG_2

Sama ada semasa bekerja atau belajar, pengguna kini semakin kerap menggunakan kamera, speaker dan mikrofon berbanding sebelum ini. Surface Laptop Go mempunyai kamera 720p HD sedia terbina dan mikrofon Studio Mics, membolehkan rakan sekelas dan rakan sekerja melihat dan mendengar satu sama lain dengan jelas. Speaker Omnisonic dan Dolby® Audio mengelilingi pengguna dengan bunyi yang luar biasa – sama ada semasa membuat panggilan video, menonton wayang, mendengar muzik dan banyak lagi. Untuk memudahkan sambungan, terdapat pangkalan USB-A dan USB-C, jak audio dan penyambung bagi Surface.

Bagi keluarga, pelajar dan perniagaan yang sedang mencari peranti baharu untuk kegunaan di rumah atau organisasi mereka, Surface Laptop Go membawakan penampilan dan sentuhan Surface serba mewah pada nilai yang hebat.

Surface Laptop Go boleh didapati secara umum di Malaysia mulai 24 November 2020 menerusi wakil penjual sah komersial seperti SoftwareONE dan Prestariang Systems Sdn Bhd, dan juga peruncit sah seperti All IT, Gloo by SNS, Harvey Norman, Lazada-Microsoft Authorised store, PC Image, Senheng, Shopee-Microsoft Authorised store dan TMT by Thundermatch.

Surface untuk Perniagaan

Peranti Surface untuk Perniagaan menyediakan pengalaman dan ciri khusus yang dibina khas untuk pelanggan komersial termasuk keselamatan gred perusahaan dan kemudahan pengurusan moden terkini dengan Autopilot, Surface Enterprise Management Mode (SEMM) dan Microsoft Intune. Windows 10 Pro merupakan sistem standard dalam peranti Surface untuk Perniagaan, menawarkan keselamatan sedia terbina dan ciri-ciri pengurusan tambahan yang membolehkan pelanggan kami memberi tumpuan menguruskan perniagaan masing-masing. Selain daripada jaminan perkakasan standard, pelanggan Surface untuk Perniagaan boleh menikmati khidmat Advanced Exchange percuma – iaitu perkhidmatan jaminan yang mempercepatkan penggantian peranti, tanpa sebarang kos tambahan.

Surface Laptop Go akan disediakan dalam konfigurasi berikut di Malaysia:

Model Harga Runcit Disyorkan (RM)
Surface untuk Pengguna Surface untuk Perniagaan
Surface Laptop Go Baharu
10th Gen Intel® Core i5, 4GB RAM, 64GB eMMC RM 2,758 N/A
10th Gen Intel® Core i5, 8GB RAM, 128GB SSD RM3,388 RM3,780
10th Gen Intel® Core i5, 8GB RAM, 256GB SSD RM4,288 RM4,561
10th Gen Intel® Core i5, 16GB RAM, 256GB SSD N/A RM5,416
(Surface Laptop Go hanya disediakan dalam warna Platinum menerusi wakil penjual sah komersial dan peruncit sah di Malaysia)

Untuk maklumat lanjut mengenai Surface Laptop Go untuk Perniagaan, pelanggan komersial boleh mengunjungi wakil penjual komersial mereka.

 


[1] Paparan Surface Laptop Go mempunyai penjuru bulat dalam segi empat tepat yang standard. Apabila diukur sebagai bentuk segi empat tepat yang standard, skrinnya ialah 12.45” ikut penjuru (kawasan yang dapat dilihat sebenarnya kurang).

[2] Warna yang tersedia mungkin berbeza-beza mengikut pasaran. Hanya disediakan dalam warna Platinum in Malaysia.

[3] Perisian dan kemas kini sistem menggunakan ruang storan yang besar. Storan yang tersedia tertakluk kepada perubahan berdasarkan kemas kini dan perisian sistem dan penggunaan aplikasi. 1 GB = 1 bilion bait. 1 TB = 1,000 GB. Lihat Storan Surface untuk butiran lanjut.

[4] Hayat bateri Surface Laptop Go: Hayat bateri sehingga 13 jam berdasarkan penggunaan peranti Surface biasa. Ujian dijalankan oleh Microsoft pada Septemberl 2020 menggunakan perisian prapengeluaran dan konfigurasi prapengeluaran Surface Laptop Go Intel® Core™ i5, 128GB, 8 GB RAM peranti Edisi Microsoft Surface®. Ujian terdiri daripada penyahcasan bateri penuh dengan campuran penggunaan aktif dan tunggu sedia moden. Bahagian penggunaan aktif terdiri daripada (1) ujian melayari web yang mengakses 8 laman web yang popular melalui tab berbilang terbuka, (2) ujian produktiviti menggunakan Microsoft Word, PowerPoint, Excel dan Outlook, dan (3) sebahagian masa diberikan untuk peranti digunakan dengan aplikasi terbiar. Semua tetapan adalah lalai kecuali kecerahan skrin yang ditetapkan kepada 150nit dengan Kecerahan Automatik dinyahdayakan. Wi-Fi disambungkan kepada rangkaian. Hayat bateri ketara berbeza dengan tetapan, penggunaan dan faktor lain.

 

The post Surface Laptop Go baharu kini boleh didapati di Malaysia appeared first on Microsoft Malaysia News Center.